Saturday, 20 October 2018

Hikmah Solat

Ibadah solat mengandungi banyak hikmah. Di antaranya adalah seperti berikut:
  1. Untuk memberikan keinsafan kepada manusia bahawa dirinya adalah hamba Allah S.W.T. yang sangat hina dan lemah, yang mesti tunduk dan patuh kepada segala peraturan dan perintahnya.
  2. Untuk mencegah manusia daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Orang yang mendirikan solat dengan ikhlas akan tertanamlah di dalam jiwanya, bahawa dia sentiasa dalam pemerhatian Allah S.W.T., kerana solat mendekatkan seorang hamba kepada Allah S.W.T. bahkab merupakan majlis pertemuan dan dialog. Selain itu, dalam solat seseorang itu akan mengucapkan janji taat setia kepada Allah S.W.T. bahawa segala urusan hidup dan matinya adalah untuk Allah S.W.T. seperti yang terdapat dalam doa iftitah. Jika semua ini dihayati, maka seseorang itu akan sentiasa berhati-hati dalam segala tingkah laku sepanjang hayatnya, bahkan di mana saja dia berada.
  3. Sentiasa memperbaharui pengakuan keimanan. Solat fardhu mesti dilaksanakan lima kali sehari semalam. Ini bermakna bahawa seseorang itu sekurang-kurangnya akan mengulangi ucapan dan kalimah syahadah sebanyak sembilan kali dalam sehari semalam. Ucapan dua kalimah syahadah adalah ucapan dan pengakuan yang sungguh-sungguh di atas keimanan kepada Allah S.W.T. dan RasulNya. Dengan itu bermakna bahawa setiap kali seseorang itu melaksanakan solat, dia memperbaharui pengakuan keimanannya, yang juga merupakan peringatan kepada dirinya bahawa dia mesti mematuhi segala titah perintah Allah S.W.T. dan RasulNya seperti yang terdapat dalam tuntutan dua kalimah syahadah.
  4. Menghapuskan dosa. Manusia ini tidak terlepas dari silap daan salah yang akan mengakibatkan dosa. Solat adalah merupakan penebus dosa, sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya ang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir B. Abdullah r.a. yang maksudnya: "Perumpamaan solat lima waktu adalah seperti sungai yang mengalir deras di pintu rumah kamu. Ia mandi di sungai itu setiap hari lima kali. Jabir berkata: Kata Hasan: Apakah yang demikian itu akan meninggalkan kotoran". Sabdanya lagi yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Hurairah r.a. yang bermaksud: "Demikianlah perumpamaan solat lima waktu, yang mana Allah akan menghapuskan dosa dengannya".