Thursday, 1 November 2018

Sunat Pada Solat Berjemaah


Bagi menyempurnakan solat berjemaah, maka hendaklah dilakukan sunat-sunatnya, seperti berikut:
1. Meluruskan dan merapatkan barisan.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Anas r.a.:
Maksudnya: Adalah Nabi s.a.w. menghadapkan mukanya kepada kami (jemaah) sebelum ia bertakbir sambal beliau berkata “Rapatkanlah dan luruskanlah barisan kamu”.

2. Solat pada saf yang pertama, kerana saf yang pertama adalah yang paling afdal.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim:
Maksudnya: Sebaik-baik saf lelaki adalah yang pertamanya dan yang seburuk-buruknya adalah saf yang akhir sekali. Sebaik-baik saf perempuan adalah saf yang di belakang sekali dan yang seburuk-buruknya adalah saf yang pertamanya.

3. Imam menguatkan suara takbir perpindahannya, menguatkan bacaan sami’allaahuliman hamidah, dan memberi salam.

Makruh Jadi Imam


Ada beberapa golongan yang makruh jadi imam, iaitu:
1. Orang yang fasiq, iaitu orang melakukan dosa besar atau mengekalkan dosa kecil.
2. Orang yang ahli bida’ah.
3. Orang yang gagap.
4. Orang yang tidak disukai orang ramai.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah:
Maksudnya: Allah tidak akan menerima solat orang yang menjadi imam terhadap suatu kaum, sedangkan  mereka benci kepadanya.

Syarat Berjemaah


Bagi sahnya solat berjemaah itu diperlukan beberapa syarat, seperti berikut:
1. Berniat mengikut imam, ketika takbiratul ihram.
2. Makmum hendaklah mengikut segala perbuatan imam.
3. Takbiratul ihram makmum setelah takbiratul ihram imam.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
Maksudnya: Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti. Maka apabila ia telah takbir, maka hendaklah kamu bertakbir dan apabila ia telah rukuk maka hendaklah kamu rukuk.

4. Makmum mengetahui gerak-geri atau perpindahan perbuatan solat imam.
5. Makmum dan imam berada dalam satu tempat.
6. Tidak terdahulu makmum daripada imam pada rukuk yang berupa perbuatan dan tidak boleh tertinggal.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud:
Maksudnya: Sesungguhnya imam itu diikuti. Maka apabila ia bertakbir, maka hendaklah kamu bertakbir. Dan jangan kamu bertakbir sehingga dia bertakbir. Dan apabila dia rukuk maka hendaklah kamu rukuk. Janganlah kamu rukuk sehingga ia rukuk dan apabila dia sujud hendaklah kamu sujud. Dan janganlah kamu sujud sehingga ia sujud.

7. Tempat berdiri makmum tidak boleh terkehadapan daripada imam.
8. Sama peraturan solat imam dengan makmum.

Imam


Orang yang boleh jadi imam atau yang tidak boleh jadi imam adalah:

1. Orang yang jadi makmum tidak boleh jadi imam.
2. Lelaki boleh berimam kepada lelaki.
3. Lelaki tidak boleh berimam kepada perempuan ataupun pondan.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah:
Maksudnya: Janganlah sekali-kali perempuan dijadikan imam terhadap lelaki.

4. Perempuan boleh berimam kepada perempuan atau pondan.
5. Pondan hanya boleh berimam kepada lelaki.
6. Imam hendaklah orang yang qari, iaitu yang bagus bacaannya.
Orang yang ummi, iaitu tidak bagus bacaan fatihahnya
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim:
Maksudnya: Orang (yang layak) menjadi imam terhadap suatu kaum ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran di antara mereka…

Bilangan Solat Jemaah


Sekurang-kurangnya berjemaah itu ialah dua orang, yakni seorang imam dan seorang makmum. Dan semakin banyak bilangan Jemaah, adalah semakin baik.

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan an-Nasai’:

Maksudnya: Solat seseorang (berjemaah dengan) seorang lelaki adalah lebih banyak ganjarannya daripada solat seorang diri. Dan solatnya bersama dua orang lelaki adalah lebih banyak ganjarannya daripada solatnya bersama seorang lelaki. Dan Jemaah yang lebih banyak, maka Jemaah itulah yang lebih disukai Allah Ta’ala.

Hukum Solat Berjemaah


1. Ditinjau daripada sekalian banyak dalil yang terdapat dalam al-Quran atau pun hadis dan kebanyakan dalil-dalil itu memerintah dengan keras agar kita mendirikan solat berjemaah maka dapatlah difahamkan bahawa solat berjemaah itu hukumnya adalah fardhu kifayah pada solat lima waktu, selain daripada solat jumaat.

2. Berjemaah pada solat jumaat adalah fardhu ain, kerana solat jumaat itu tidak sah dikerjakan jika tidak berjemaah.

3. Ada juga berjemaah yang hukumnya sunat, iaitu berjemaah pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah, seperti solat hari raya, tarawih, mnta hujan dan sebagainya. Makruh berjemaah pada solat tunai mengikut solat qadha atau sebaliknya.


Perlu diketahui bahawa sebaik-baik solat berjemaah itu dilakukan di masjid atau surau bagi yang tiada masjid, khasnya solat fardhu bagi lelaki. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

Maksudnya: Solatlah kamu wahai manusia di rumah masing-masing kerana sesungguhnya sebaik-baik solat itu ialah solat seseorang di rumahnya kecuali solat fardhu.


Sabdanya lagi yang diriwayatkan oleh Abu Daud:

Maksudnya: Jangan kamu larang perempuan-perempuan kamu ke masjid walaupun rumah mereka lebih baik bagi mereka (untuk beribadah).

Dalil Solat Berjemaah

Sebagai dalil yang menyuruh kita melaksanakan solat berjemaah dapat kita ambil daripada ayat al-Quran dan juga hadis Rasulullah s.a.w.

Di antaranya firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah, ayat 43:
Maksudnya: Dan dirikanlah oleh kamu solat, dan rukuklah kamu (berjemaahlah kamu) bersama orang yang rukuk.

FirmanNya lagi dalam surah an-Nisa', ayat 102:
Maksudnya: Dan apabila engkau berada di kalangan mereka (semasa berperang) lalu engkau mendirikan solat dengan (menjadikan imam) mereka, maka hendaklah satu puak dari mereka berdiri (mengerjakan solat) bersama engkau.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ahmad daripada Abi Darda' r.a.:
Maksudnya: Tidak ada tiga orang lelaki dalam sebuah kampung atau sebuah desa yang tidak mendirikan solat berjemaah, melainkan mereka mudah dikuasai oleh syaitan (dengan menjadikan mencuaikan perintah syarak). Oleh itu hendaklah engkau sentiasa bersama jemaah.

Sabdanya lagi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
Maksudnya: Solat berjemaah itu lebih afdhal daripada bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat.

Sabdanya lagi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
Maksudnya: Sesungguhnya aku dukacita dan bahawa aku malu menyeru menegakkan solat, maka dirikan dia, kemudian aku suruh akan seorang laki-laki, maka solat ia dengan segala manusia, maka ia pergi serta aku dengan orang ramai serta membawa beberapa bekas daripada kayu api kepada kaum yang tidak hadir mengerjakan solat berjemaah. Maka aku bakar mereka berserta rumah-rumah mereka dengan api.

Adapun yang diriwayatkan oleh Ahmad:
Maksudnya: Kalaulah tidak kerana ada perempuan-perempuan dan anak-anak ada di rumah-rumah, saya kerjakan solat isyak, dan saya suruh pemuda-pemuda membakar rumah-rumah itu bersama isinya.